Wednesday, 16 March 2016

USIA MEREKA & KAU MENINGKAT SUDAH!

# Assalamu'alaikum #

Apabila...

Doktor memberitahu pada ibumu,

"Puan sekarang dah kena makan ubattt."

Dan,

Ayahmu sudah mula memakai cermin mata kerana rabun.

Apakah perasaanmu, wahai anak?

Jujur aku katakan, melihatkan perubahan-perubahan sunnatullah (aturan alam) ini dihadapan mata, membuatkan aku berfikir panjang merenung ke hadapan.

Usiaku? Usia mereka? Apakah yang aku lakukan sekarang dan apakah yang perlu aku lakukan untuk masa seterusnya? Apakah yang mereka telah lakukan buatku dan diri mereka?

Masa memang akan terus berjalan dan meninggalkan makhluk ciptaan di atas muka bumi ini. Siapa yang sedar, dia akan terus mencari bekalan buat 'kehidupan sana'. Bagi yang tidak sedar, dia akan terus leka dan lalai dengan kehidupannya yang biasa-biasa. Berada di zon selesa dan yakin tiada apa yang akan berlaku!

Di saat rakan taulan dan rakan sepersatuan serta saudara mara berlumba-lumba mendirikan rumah tangga, membina damai dan cinta di hati, aku mencari sebuah kekuatan. Cemburu dan mempersoalkan kenapa aku lambat mendapat nikmat itu.

Daripada aku sibuk memikirkan hal selain cinta dan perkahwinan, perbincangan kosong ibu bapa dan saudara mara tentang majlisku amat membimbangkan.

"Nanti kau kahwin, bibik sponsor laksa. "

"Cendol siapa nak sponsor," aku menambah kehangatan suasana.

"Cendol kita buat sendiri sama-sama sajalah." 

"Nanti si Parah ni tak nak pelamin, jimat dah kat situ." Ibuku yang jarang membuka soal perkahwinan, kini tidak lagi.

Dan,

Sekali lagi aku muhasabah diri, BERSEDIAKAH AKU? Bersediakah aku sebenarnya? Cukupkah bekalan dan simpanan dari semua segi. Ilmumu, wang simpananmu, persediaan pengorbananmu, susunan jadualmu, kasih sayangmu dan kesabaranmu. Sudahkah aku bersedia untuk berkongsi dan berkorban.

Perkahwinan adalah sesuatu yang subjektif. Kahwin awal bahagia. Kahwin dengan sahabat sendiri seronok. Dan pelbagai teori lagi. Yang penting kita doa dapat yang terbaik, tak kira dengan siapa dan bila masanya. Aku yakin, Allah tahu yang terbaik buatku!

(Sebenarnya nak cerita pasal usia ibu bapaku yang sudah meningkat, membebel panjang lebar pasal kahwin pula).

Melihat dengan mata kepalaku sendiri yang ibu bapaku yang semakin dimamah usia, aku risau. Kudrat mereka pun semakin berkurangan. Badan pun mudah letih dan sakit-sakit. Perlu ke klinik untuk pemeriksaan berkala darah tinggi. 

Aku sebagai anak pun membuat persediaan yang aku pun tak merancangnya. Aku pun tak sedar yang aku sedang melakukannya.

 Aku mula membaca bahan-bahan yang berkaitan persediaan ke umur 30 (hahaha), padahal muda lagi kot. Aku juga mula mencari artikel tentang menopause dan pengalaman insan tentangnya. Tatacara berkomunikasi dengan mereka dan hukum-hakam Islam berkaitan ibu bapa juga mula menarik minatku.

Aku ingin memantapkan ilmu persediaan menghadapi mereka yang aku sayangi untuk dicabar usia tua. Kita tak boleh menafikan sunnatullah itu. Kita perlu sedar dan bersedia menghadapinya.

Entry ini mungkin membosankan bagi kamu, tapi yakinlah bahawa kita semua perlu mempunyai benteng persediaan buat hari tua mereka dan kita juga. 

{Wallahu a'lam}

 

 

No comments:

Post a Comment